Dasar 1 Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap
murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini
menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk
melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan
menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini adalah selaras
dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat dan
hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk
Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan.
Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua
adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan ke
semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan
berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat
Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh
pihak sekolah. Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah
amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang sihat,
cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat YAB Perdana
Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia.
Dasar 1 M 1 S berhasrat untuk:
1. Membangunkan modal insan melalui
penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang
tahun.
2. Memupuk budaya bersukan di kalangan
murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat
dan cergas.
Dasar 1 M1 S berhasrat untuk memenuhi objektif-objektif
berikut:
1. Meningkatkan kecergasan jasmani.
2. Membentuk sahsiah, jati diri, disiplin
dan nilai murni.
3. Memupuk perpaduan di antara kaum.
4. Membentuk budaya sukan di kalangan
murid.
5. Memenuhi naluri semulajadi murid dalam
aktiviti fizikal.
6. Memberi keseimbangan antara keperluan
akademik dengan keperluan fizikal.
7. Mewujudkan landasan ke arah
kecemerlangan sukan.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)
bermatlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani (JERI). Konsep Dasar 1 M 1S diwujudkan untuk
menyokong FPK agar dapat:
1. Memberi akses kepada semua murid
mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang
kurang atau tidak aktif.
2. Membangunkan sukan sekolah ke arah
meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan
di sekolah.
3. Memberi peluang kepada semua murid yang
berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi.
Pelaksanaan Dasar 1M 1S hendaklah mengambil
kira prinsip-prinsip berikut:
1. Setiap murid termasuk murid berkeperluan
khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian
dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk
Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan , Tingkatan 1 hingga
Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid Pra Sekolah
hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah.
2. Murid boleh menyertai lebih dari satu
sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang
dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah;.
3. Asas kepada 1M 1S adalah pelaksanaan
mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang berkualiti di sekolah. Segala
sumber untuk mata pelajaran pendidikan jasmani hendaklah diguna sama bagi 1M
1S.
4. Aspek yang diutamakan adalah penyertaan
aktif oleh semua murid dalam aktiviti su kan.
5. Penyertaan dalam sukan adalah asas
kepada perkembangan Intelek Rohani, Jasmani, dan Emosi murid.
6. Ibu bapa dan agensi luar rakan sukan
adalah digalakkan untuk menyumbang kepada pembangunan sukan sekolah.
7. Setiap sekolah yang sudah pun mempunyai
prasarana, kemudahan dan peralatan sukan hendaklah mengoptimumkan penggunaannya
bagi meningkatkan lagi penyertaan aktif setiap murid.
Bagi memenuhi prinsip-prinsip pelaksanaan
1M 1S, setiap sekolah mempunyai pendekatan dalam melaksanakan program sukan
mengikut acuan dan kemampuan sedia ada. Dengan itu, pelaksanaan 1M 1 S adalah
berdasarkan kepada pendekatan berikut:
1. Aktiviti sukan bermaksud melibatkan diri
dan mengambil bahagian secara aktif dalam latihan sukan dan permainan di bawah
pengurusan sekolah. Sukan yang ditawarkan di bawah 1M 1S hendaklah berunsurkan
aktiviti yang melibatkan pergerakan fizikal.
2. Aktiviti sukan di sekolah diadakan
sepanjang tahun berdasarkan kepada aktiviti rumah sukan dan kelab sukan.
Kejohanan tahunan olahraga sekolah yang didahului oleh kejohanan merentas desa
dan sukan tara menjadi aktiviti teras sukan di sekolah.
3. Pihak sekolah hendaklah mengadakan
pertandingan antara tingkatan, kelas, rumah, dorm asrama, kelab sukan sekolah.
Penyertaan murid dalam kejohanan
MSSD/MSSN/MSSM serta peringkat antarabangsa adalah merupakan aktiviti 1M1S.